Test Footer

Halaman

Selasa, 26 Februari 2013

Ikhlas : Rahsia Daripada Rahsia Allah


"Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat, dan sesungguhnya bagi setiap individu itu apa yang diniatkannya.." (Hadis)
Firman Allah Ta'ala :
"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya."
Kosongnya hati kecuali hanya semata-mata kerana Allah Ta'ala memerlukan mujahadah yang berpanjangan. Manefestasi keikhlasan yang tulen ini diungkapakan oleh Rabiatul Adawiyah dalam syairnya :
"Mereka menyembah-Mu kerana takutkan neraka, dan beranggapan lepas daripada azab-Nya satu kejayaan yang besar. Ataupun kerana ingin menghuni syurga dan memperolehi mahligai dan minum air salsabila. Akan tetapi aku bukanlah menyembah-Mu kerana untuk lepas daripada neraka atau untuk mendapatkan syurga, aku tidak rela cintaku ditukar ganti."
Bagi tokoh sufi ini ibadatnya semata-mata kerana Allah. Ganjaran syurga atau pelepasan daripada siksa neraka bukanlah sesuatu yang dikejar, namun ibadatnya hanya semata-mata kerana cinta kepada Allah Ta'ala, maka terpulanglah kepada Allah untuk memberikan ganjaran yang sepatutnya di atas amalan yang dibuat.
Persoalan ikhlas merupakan perkara yang luas, ianya mencakupi gerak geri kita seharian. Ikhlas dalam mengerjakan ibadat khusus maupun umum, ikhlas dalam memberikan pertolongan kepada sesama manusia, ikhlas dalam menuntut ilmu dan sebagainya. Pendek kata setiapa gerak geri seharian kita menuntut kepada kemurnian hati.
Dalam membicarakan persoalan ikhlas ini, Ibnu Atho'llah menukilkan dalam kitab Hikamnya:
"Amal perbuatan itu sebagai kerangka yang tegak, sedang ruh (jiwanya), ialah terdapatnya rahsia ikhlas (ketulusan) dalam amal perbuatan itu."
Justeru amalan tanpa disertai dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT seolah-olah jasad yang tidak bernyawa.
Ramai yang solat tanpa ikhlas, ada yang menunaikan haji semata-mata kerana mahukan gelaran, tak kurang yang menuntut ilmu kerana inginkan title 'Dr' diletakkan dihadapan nama mereka. Justeru marilah sama-sama kita muhasaah diri apakah niat kita yang sebenarnya.
Penting bagi semua pendokong amal islami menjaga niat dalam menyampaikan dakwah. Tanpa ikhlas kata-kata kita hanya akan sampai ke cuping telinga pendengar bukannya kepada hati mereka.
Biar apa pun niat kita, persoalan ikhlas ini merupakan sirrun min assraarillah (rahsia daripada rahsia Allah). Jadi bukanlah tugas kita untuk menjustifikasi seseorang berdasarkan anggapan kita.
Cukuplah kita diajar oleh Nabi SAW agar menghukum seseorang berdasarkan kepada zahirnya bukan menduga batinnya kerana ianya bukan kemampuan kita. Tugas kita hanyalah sentiasa bermuhasabah adakah niat kita sudah ikhlas bukan menghukum niat orang lain.
إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡڪِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ فَٱعۡبُدِ ٱللَّهَ مُخۡلِصً۬ا لَّهُ ٱلدِّينَ
Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya.
( Surah Az-Zumar 39: Ayat 2)

Admin 

Random Post